Rabu, 19 Februari 2014

Seorang Anggota Bomba Maut Dalam Kemalangan


BUTTERWORTH – Seorang anggota bomba maut ketika dalam perjalanan ke tempat kerja bila motosikal yang ditunggangnya terlibat dalam kemalangan dengan sebuah kenderaan di Ampang Jajar, di sini, hari ini.

Mangsa, Shamsuddin Mohd Kasim, 49, yang bertugas di Unit Marin Butterworth meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah selepas motosikalnya dirempuh sebuah kenderaan dalam kejadian langgar lari.

Jurucakap polis berkata dalam kejadian pukul 9.30 pagi itu, Shamsuddin yang berkhidmat sebagai anggota bomba sejak 30 tahun, maut selepas mengalami kecederaan parah termasuk di tulang belakang manakala pemandu kenderaan yang terbabit melarikan diri.

Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat atau melihat kemalangan itu diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Prai Tengah Insp Mohd Yasir Abu Bakar di talian 04-5301977.

Sementara itu, isteri mangsa Zarina Raizul Haq, 40-an berkata suaminya sempat berbual dengan dua anak mereka, Mohd Izzat, 15, dan Shamira, 9, semasa bersarapan sebelum arwah keluar dari rumah di Kuarters Bomba Bandar Perda, di sini.

“Arwah tidak menunjukkan sebarang perubahan dan dia juga berbual macam biasa dengan kami. Cuma sebelum keluar pagi tadi dia sempat memeluk dan mencium Shamira.

“Saya tidak sangka itu petanda dia akan pergi buat selama-lamanya,” katanya ketika ditemui di Hospital Seberang Jaya (HSJ).

Mayat Shamsudin dihantar ke HSJ untuk bedah siasat. – BERNAMA

0 komentar:

Posting Komentar

 
Copyright © 2012. Igem Blog - Posts · Comments
Powered by Blogger